Sunday, 8 May 2011

Konsep 1 Malaysia

By:Muyal Mac

Malaysia terkenal dengan keunikannya yang mempunyai penduduk berbilang kaum namun hidup rukun damai sejak kemerdekaannya 52 tahun lalu. Inilah yang menjadi resepi dan pemangkin ke arah pencapaian kejayaan negara. Sebagai rakyat yang prihatin, di bahu kitalah tergalasnya tanggungjawab untuk mengekalkan keharmonian ini.
Di antara kepentingan memelihara perpaduan kaum ialah untuk mewujudkan suasana
kehidupan bermasyarakat yang aman dan harmoni. Semangat saling menghormati dan
memahami antara satu sama lain mampu mengelak sebarang perasaan negatif seperti hasad dengki, pentingkan diri sendiri dan lain-lain. Hubungan baik yang terjalin erat bukan sahaja menjadi asas kehidupan yang tenteram bahkan juga memakmurkan negara. Sebagai contoh, setelah melewati setengah abad negara Malaysia mencapai
kemerdekaan, telah banyak perubahan positif yang berlaku. Malah negara
malaysia juga sudah terkenal sebagai sebuah negara membangun.
Selain itu, kehidupan yang harmoni juga merupakan jambatan utama menuju kemajuan.
Negara yang sejahtera membolehkan rakyatnya mengambil peluang meningkatkan taraf hidup. Semua pihak dapat berganding bahu memikul tugas masing-masing tanpa sebarang perasaan syak wasangka. Hasilnya, negara kita akan membangun dengan
stabil merangkumi segenak aspek kehidupan. Pembangunan pesat negara kita
setanding dengan negara-negara maju di dunia.
Menyedari kepentingan perpaduan kaum maka beberapa langkah yang efisien perlu
dijalankan bagi mengekalkannya. Antara lain, kerajaan telah mewujudkan Sekolah
Wawasan. Konsep sekolah wawasan ini adalah untuk memelihara perpaduan kaum yang dipupuk sejak awal lagi iaitu dalam kalangan kanak-kanak. Institusi pendidikan dengan corak perpaduan kaum ini membantu masyarakat untuk saling mengenali dan menghormati kebudayaan serta adat resam kaum-kaum yang lain. Hal ini secara
tuntasnya menjamin kestabilan negara dengan adanya hubungan yang erat di
antara kaum.
Selain itu, kemakmuran negara yang wujud dengan resepi perpaduan ini juga adalah hasil daripada matlamat misi dan visi negara. Sebagai contoh, kerajaan melancarkan Dasar Ekonomi baru dan Wawasan 2020. Cetusan visi para pemimpin ini menyemarakkan lagi
usaha mengekalkan perpaduan kaum. Ini jelas dibuktikan dengan konsep keadilan dari segi memperolehi kekayaan. Semua kaum berpeluang menceburi bidang ekonomi mengikut kemahiran dan usaha masing-masing. Kesannya, kestabilan dari segi
ekonomi turut memperkembangkan kemajuan negara sehingga menjadi contoh
kepada negara jiran iaitu Indonesia.
Kesimpulannya, kemajuan dan kemakmuran sesebuah negara itu amat bergantung pada hubungan baik yang terjalin antara masyarakat. Perumpaan; ‘bersatu teguh, bercerai roboh’ begitu sinonim dengan usaha mengekalkan perpaduan kaum demi kesejahteraan hidup .
 







































No comments:

Post a Comment

jill jill jiga jiga